Tampilkan postingan dengan label Hari Raya. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Hari Raya. Tampilkan semua postingan

Senin, 20 Januari 2014

Kenapa lemang di dalam buluh?


Lemang yang telah dimasak dan dipotong
Lemang merupakan sejenis masakan tradisi yang diperbuat dari beras pulut, santan dan sedikit garam. Uniknya mengenai lemang ini adalah kerana ia dimasak di dalam seruas buluh. Ia dimasukkan ke dalam ruas buluh setelah dilapik dengan daun pisang sebelum dibakar sehingga masak. Kini, lemang boleh diperolehi sepanjang tahun, tetapi lebih meluas semasa perayaan Hari Raya. Lemang lebih sedap sekiranya dimakan ketika masih panas dan ia sering dihidangkan bersama rendang atau serunding.

Lemang yang sudah dimasak


Buluh lemang adalah di antara tumbuh-tumbuhan yang mempunyai banyak kegunaan. Sejak zaman awal kehidupan manusia, buluh digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian. Buluh digunakan sebagai senjata tajam seperti tombak dan digunakan untuk memotong seperti pisau.  Ia juga dijadikan bahan binaan utama untuk membuat rumah masyarakat dulu kala dan beberapa batang buluh diikat untuk dijadikan rakit oleh penduduk yang tinggal di pinggir sungai atau laut sebagai salah satu cara pengangkutan.



Tetapi, mengapakah buluh sesuai digunakan untuk membakar lemang?
Buluh lemang ini tergolong di dalam famili Gramineae. Nama saintifiknya pula adalah Schizostachyum brachycladum. Masyarakat pada zaman dahulu mengunakan sumber bahan-bahan semulajadi yang terdapat di sekeliling mereka seperti buluh untuk memasak. Buluh lemang ini dipilih kerana ruasnya yang panjang, bentuknya  yang lurus dan mempunyai ketebalan yang nipis. Bentuk fizikal buluh yang beruas dan berlubang umpama tabung turut membolehkan ia sesuai digunakan untuk memasak nasi atau lemang.
Ketebalan dindingnya yang nipis membolehkan haba daripada arang yang dibakar akan lebih mudah dipindahkan semasa membakar lemang. Sekiranaya buluh yang lebih tebal digunakan maka kita memerlukan lebih banyak masa untuk memasak lemang.
 






Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains






Deko Raya dari Bahan Kitar Semula



Sempena Hari Raya,  Petrosains  telah menganjurkan satu pertandingan antara jabatan mendekorasi ruang pejabat . Salah satu keunikan yang menarik perhatian dalam pertandingan dekorasi ini adalah  hiasan yang berkonsepkan 'Syawal Hijau'. Ini merupakan satu idea yang luar biasa kerana bahan-bahan yang digunakan untuk dekorasi diperbuat dari bahan kitar semula seperti tin, botol kaca dan kotak. 



Tercetusnya idea ini adalah berdasarkan orang pada zaman dulu-dulu yang hanya menggunakan sumber bahan-bahan yang terdapat di sekeliling mereka untuk menghasilkan sesuatu. Masyarakat dulu menggunakan tin-tin susu, buluh dan tempurung kelapa untuk menghasilkan pelita di kawasan rumah.
Sesuatu yang tidak diduga sebenarnya mampu dilakukan hanya dengan menggunakan tin-tin minumam. Tin-tin aluminium ini dikumpul dari sehari ke sehari setelah berkunjung ke rumah-rumah terbuka termasuk saudara mara dan sahabat handai yang menjamu tetamu dengan minuman berkarbonat.  Tin tin terpakai ini selepas digunakan perlu dibasuh dan dikeringkan. Kemudian bahagian tepinya digunting berupa jalur-jalur memanjang ke bawah seperti di dalam gambar diatas.
Kemudian tin-tin aluminium tersebut dibentuk dengan lebih sempurna agar ia kelihatan seperti terendak lampu. Lalu tin-tin minuman itu disembur dengan penyembur bewarna mengikut citarasa masing-masing. Walaubagaimanapun, ia perlu di sembur dengan warna putih terlebih dahulu sebagai warna alas sebelum disembur dengan warna yang lebih menarik. 
Seterusnya, ia digantung dalam bentuk pusaran atau berpilin di mana pada bahagian atasnya di sokong juga oleh bahan kitar semula  iaitu kotak. Sebenarnya lampu deko  ini boleh  digubah mengikut citarasa sendiri. Bagi dekorasi ini, ia menggunakan lima buah lampu pelita dalam setiap jambak pelita. Kemudian, bentuk bulan dan bintang yang dianggap sebagai elemen raya  diperbuat daripada kertas berwarna ditambah pada setiap pelita. Disebabkan pelita ini  direka khas untuk dipamerkan di ruang-ruang pejabat, sumber cahaya  yang digunakan ialah  diod pemancar cahaya (LED) dengan kuasa bateri sebanyak 3 voltan sahaja. 
Selain itu, bahan dekorasi lain yang ditunjukkan bagi konsep 'Syawal Hijau' ini ialah botol kaca terpakai. Selalunya lampu kelip-kelip akan digantungkan tetapi cara lain yang lebih kreatif untuk mewarnai sesuatu ruang  adalah dengan memasukkannya ke dalam botol-botol kaca seperti gambar di bawah.




Dalam erti kata lain, kita masih lagi boleh merasai suasana dekorasi yang meriah sempena perayaan Hari Raya dengan hanya menggunakan bahan-bahan kitar semula. Ia cantik dan menarik, menggunakan modal yang sedikit di samping boleh memelihara alam sekitar. Ia juga merupakan satu aktiviti yang sihat jika dilakukan bersama -sama ahli keluarga kerana kerjasama erat yang terjalin boleh merapatkan ukhuwah sesama manusia. Selain itu, ia turut memberi manfaat kepada kita semua terutama golongan kecil untuk penjanaan minda kreatif. 





Posted by Ayu
Learning Speacialist, Petrosains



Cahaya Pelita Kerosin

Pelita minyak tanah
Entah mengapa saban hari dan tahun menjelang Hari Raya, perasaan untuk melihat pelita minyak tanah yang selalunya dipasang untuk menerangi halaman rumah pada waktu malam sering terbuak-buak. Tatkala melihatnya, jelas terpancar wajah ceria menghargai kemeriahan suasana itu untuk menyambut Hari Raya. Hari Raya merupakan perayaan yang dirayakan oleh penganut beragama Islam di seluruh dunia tidak mengira bangsa sama ada Melayu, India dan sebagainya.
Pelita minyak tanah
Pelita Minyak tanah atau kerosin akan dinyalakan pada waktu malam dan dipasang mengelilingi rumah bagi menyemarakkan suasana meriah untuk menyambut Hari Raya. Walaupun pelita minyak tanah ini kian dilupakan oleh masyarakat setempat, tetapi masih ada lagi segelintir golongan yang masih menggemarinya. Pelita minyak tanah ini juga boleh dikatakan sebagai  simbol tradisi masyarakat setempat yang 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'. Di Malaysia, ramai yang akan bercuti panjang sempena menyambut perayaan ini. Selalunya ramai yang akan pulang ke kampung halaman untuk menyambutnya bersama keluarga tercinta. Dalam perjalanan pulang ke kampung, selalunya kita lebih berpeluang untuk melihat pelita minyak berbanding di kawasan bandar. ada juga yang sudah memodifikasi pelita minyak tanah ini kepada pelita lampu yang menggunakan tenaga elektrik yang sering dijadikan dekorasi dalaman di pusat-pusat membeli belah.
Pelita minyak tanah boleh diperolehi di kedai-kedai ataupun di pasar raya dengan harga yang sangat berpatutan. Tetapi kebanyakan penduduk kampung membuatnya sendiri menggunakan bahan-bahan terpakai kitar semula untuk menghasilkan pelita minyak tanah. Ia boleh diperbuat daripada tin-tin susu, buluh dan juga tempurung kelapa. Ia digelar sebagai pelita minyak tanah kerana ia menggunakan minyak tanah atau kerosin sebagai sumber bahan api untuk dinyalakan apinya. Jika diperhatikan pada gambar, minyak tanah akan diisi di dalam bahagian berwarna biru. Terdapat sumbu yang diperbuat daripada tali guni dipasang di tengah-tengah sehingga menyentuh minyak tanah. Minyak tanah  akan naik meresap ke atas melalui sumbu tali guni oleh tindakan kapilari.
 
Minyak tanah ataupun kerosin dan juga dikenali sebagai parafin di sesetengah tempat adalah merupakan hidrokarbon dalam bentuk cecair yang tidak berwarna dan mudah terbakar. Kerosin digunakan sebagai bahan api untuk pesawat terbang, kapal-kapal kecil serta untuk tujuan pemanasan memasak dan pencahayaan.  

Pada masa dulu, permintaan penggunaan kerosin adalah lebih tinggi berbanding bahan api yang lain seperti petrol dan diesel. Kerosin digunakan secara meluas untuk tujuan pencahayaan. Kebanyakan kawasan pedalaman di Asia bergantung kepada lampu minyak tanah sebagai sumber pencahayaan kerana tiada bekalan elektrik. Minyak tanah juga digunakan oleh masyarakat setempat  untuk memasak dengan menggunakan dapur minyak tanah. Faktor minyak tanah digunakan dengan lebih meluas adalah kerana harganya lebih murah berbanding sekarang.

Tetapi, mengapakah kerosin masih digunakan sebagai bahan api untuk sumber cahaya pelita ini?


Hidrokarbon dalam petroleum diasingkan melalui proses penyulingan berperingkat. Semasa penyulingan berperingkat, petroleum dipanaskan dalam sebuah menara pemeringkat. Hidrokarbon dengan takat didih yang lebih rendah meruap terlebih dahulu , naik ke bahagian atas menara lalu dikondensasikan dan diasingkan. Hidrokarbon dengan takat didih yang lebih tinggi akan terkumpul di bahagian bawah menara dan dikondensasikan sebagai cecair.

Hasil daripada penyulingan berperingkat ini, kerosin merupakan hasil penyulingan yang berada di tengah- tengah menara berperingkat dan mempunyai takat didih di antara 150 darjah Celcius  ke 300 darjah Celcius di mana ia adalah lebih rendah berbanding diesel, minyak pelincir dan bitumen. Jadi secara struktur kimianya, kerosin mempunyai rantaian karbon yang lebih pendek. Warnanya  lebih cerah dan ia mempunyai kelikatan yang lebih rendah. Kerosin juga mudah terbakar. Nyalaan api kerosin adalah lebih bersih dan kurang berjelaga. Maka, itulah sebabnya mengapa kerosin digunakan sebagai bahan api untuk pelita.

Walaupun begitu, kita hendaklah sentiasa berwaspada dengan api- 'apabila kecil menjadi kawan, sudah besar menjadi lawan'. Sentiasa berhati-hati agar kemeriahan untuk menyambut perayaan boleh dinikmati bersama dalam keadaan yang gembira dan selamat.





Posted by Ayu
Learning Specialist, Petrosains